Thursday, December 23, 2010

Warkah dari Baitul Atiq

Orang ramai sudah memenuhi balai pelepasan. Kelihatan pelbagai perasaan dan luahan rasa tergambar di wajah masing-masing. Passport, tiket dan beg sandang yang mengandungi dokumen-dokumen penting aku pegang erat.


Ada seorang pak cik tua terkumat-kamit mulutnya di kerusi hujung. Wajahnya tenang sekali.


Sedang berzikir pastinya, telah aku.


Pakcik itu tersenyum padaku dan senyumannya ku balas ikhlas.


Tiba-tiba wajah walidku (ayahku) menjelma di ruang mata.


Ya Allah, di kala ini sungguh rinduku pada walid mendatang. Aku jadi sebak secara tiba-tiba. Ah! Walid.


Masih aku ingat saat di suatu petang itu, tatkala langit rembang kemerah-merahan, walid pulang tergesa-gesa lantas memelukku.


"Ziyad, walid dapat naik haji tahun ini!" Muka walid bercahaya sambil memegang surat daripada Tabung Haji.


Aku tidak terkata sambil membalas erat dan bertahmid perlahan.


"Alhamdulillah, akhirnya Allah sudi menerima walid sebagai tetamunya." Aku menahan sedu.


Lantas kakak-kakak dan abang-abang dihubungi. Malam esoknya, walid membuat kenduri kesyukuran. Seekor kambing tumbang sebagai tanda syukur pada Allah. Walid pula tidak lekang tersenyum dan kadang-kadang ada air bertakung di bola matanya.


"Abang, dah boleh masuk, mari." Isteriku tiba-tiba menghentikan lamunanku. Wajah walid hilang sebentar daripada pandangan.


Pesawat MAS 343 ditempah khas oleh Tabung Haji tahun ini untuk membawa jemaah ke tanah suci. Aku mengambi kerusi di tepi sekali, bersebelahan tingkap. Bertukar tempat dengan isteriku, gayat katanya. Al-Quran, untaian tasbih dan buku panduan haji aku keluarkan dari beg sandang sebagai bekalan perjalanan panjang. Tatkala pesawat mulai berlepas, seorang ustaz membacakan doa. Pramugara dan pramugari mulai sibuk memenuhi permintaan jemaah.


Alhamdulillah, paramugari nampaknya berbeza sekali pakaiannya kali ini. Mungkin bagi menghormati para penumpang yang akan ke Mekah. Kerap kali ke luar negara membuatkanku sudah terbiasa dan tidak mengalami masalah. Aku berbasmallah, bersyahadah, dan berdoa moga musafirku ini deredhai dan diterima Allah.


Kemudian, sambil megingatkan isteriku disebelah, aku memperbaharui niat. Aku kini sedang menuju ke rumah Allah. Sedang melangkah dengan penuh rasa hina bertemu tuhan, menunaikan rukun islam kelima di Baitullah Al-haram. Aku terus berdoa dan berdoa seraya meraup wajah.


“Ya Allah...terimalah kedatangan hamba Mu ini.”


Lampu pesawat mulai malap.


Mana mungkin aku lupa, betapa tidaknya walid begitu gembira. Bapa tunggal lima anak ini cukup cekal hatinya. Sanggup berkorban segalanya untuk kehidupan anak-anak hingga ke umur tua. Beberapa kali tawaran haji walid tunda semata-mata mendahulukan pengajian kami adik beradik. Hingga di hujung usianya, akhirnya dia diberi kesempatan daripada Allah untuk menunaikan rukun Islam ke lima ini. Perlahan aku keluarkan sampul surat dari celah buku panduan haji.


Tanpa ditahan, airmata mula mengalir deras. Inilah surat yang dikirim lewat Pak Cik Yahya daripada walid padaku beserta berita sedih yang menyentak jiwa. Walid kembali kepangkuan Allah ketika sedang bersujud di Hijr Ismail sewaktu menghabiskan Tawaf Wada'nya. Waktu itu aku masih ditahun akhir pengajian Kejuruteraan di UIA. Dalam samar-samar cahaya, aku membaca untuk kesekian kalinya surat tulisan tangan seorang guru itu sebelum kakiku menjejak tanah haram.


Assalamualaikum anakku Ziyad Ibrahim...


Harap Ziyad dan semua sihat dibawah jagaan Allah. Walid disini juga sihat dan gembira menunaikan ibadah.


Anakku, walid dapat merasakan bahawa walid akan tinggal lama di rumah Allah ini. Mungkin untuk selama-lamanya. Jadi walid menulis surat ini untuk menceritakan perasaan gembira walid dan kenangan paling indah walid menunaikan ibadah haji di Baitullah.


Moga nanti bila sampai masa Allah menerima Ziyad dirumah-Nya, Ziyad akan dapat beribadah dan merasakan manisnya bertemu dengan Allah seperti yang walid rasai.


Anakku Ziyad, dalam surah Al-Hajj, ayat ke 27 yang bermaksud:


"Khabarkanlah kepada sekalian manusia manusia itu untuk melakukan ibadat Haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta, meraka itu akan datang dari segala ceruk penjuru yang jauh". Walid juga berharap diampun segala dosa dan mendapat haji mabrur seperti hadis nabi “Haji mabrur itu tiada lain ganjarannya kecuali syurga.”(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Anakku Ziyad, pada pagi hari tanggal 8 Zulhijjah, walid berihram untuk haji dari tempat tinggal walid dengan mandi terlebih dahulu, selepas itu memakai ihram. Terasa dada walid begitu berdebar untuk melaksanakan ibadah haji. Air mata walid tidak henti-henti mengalir ketika kami semua membaca kalimah talbiyyah. Labbaikallahumma Labbaik...Labbaikala syarikalabbaik....


"Aku sambut panggilan-Mu untuk menunaikan ibadah haji. Aku sambut panggilan-Mu Ya Allah, Aku sambut panggilan-Mu, Tiada sekutu bagi Mu. Sesungguhnya segala puji, kenikmatan dan kerajaan adalah milik-Mu, tiada sekutu bagi Mu....." 


Kemudian walid bertolak ke Mina. Solat Zuhur, 'Asar, Maghrib dan Isya' di sana dengan mengqasar solat-solat empat rakaat. Apabila matahari telah terbit pada tanggal 9 Zulhijjah, walid mula menuju ke Arafah dan berdiam di sana sehingga matahari terbenam.


Sungguh waktu ini anakku, perasaan walid tidak dapat ditahan. Walid terbayang muka arwah ummi dan muka anak-anak walid semua. Terasa seperti sedang dihisab Allah di Padang Mahsyar. Tambah-tambah hari Wukuf jatuh pada hari Jumaat. Haji Akbar kata ustaz. Terasa Allah sedang berbicara dengan walid. Maafkan walid andai tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah dengan sempurna anakku.


Ketika matahari mulai terbenam, walid tinggalkan Arafah dan menuju Mudzalifah. Walid tetap di situ untuk berdoa dan berzikir sampai mendekati terbitnya matahari. Walid mendoakan kamu semua. Semoga diberi kebaikan di dunia dan akhirat. Kemudian walid mula berjalan menuju Mina.


Di Mina, walid melontar jamrah Aqabah sebanyak tujuh kali dan bertakbir. Keadaan manusia sangat sesak. Hingga walid mengalami kesukaran bernafas. Namun Alhamdulilah, Allah mempermudahkan urusan walid. Walid terus melakukan korban dan mencukur rambut selepas itu.


Pada saat ini walid sudah boleh bertahallul dan memakai pakaian biasa. Walid meneruskan perjalanan ke Mekah dan membuat Tawaf Haji, seterusnya Sa'ie diantara Safa dan Marwah. Ketika walid terpandang akan Kaabah Assyarif, ada rasa sejuk menusuk dada walid.


Sekali lagi airmata walid tidak dapat ditahan. Perasaan ini tidak dapat digambarkan anakku. Ianya sangat mengharukan. Walaupun dengan kudrat walid yang tidak seberapa ini, walid masih dapat melakukan semua ibadah dengan baik, alhamdulillah. Walid kemudian kembali ke Mina dan melontar di tiga jamrah.


Dan saat walid menulis ini... walid agak tidak berapa sihat. Mungkin kerana tidak biasa dengan cuaca di sini. Walid sebenarnya sangat sedih meninggalkan Baitullah. Walid pasti sangat sedih ketika melakukan Tawaf Wada' nanti. Apabila selesai Tawaf wada' nanti walid akan menelefon Ziyad di Malaysia. Doakan walid sempat mengucapkan selamat tinggal pada Baitullah.


Ziyad anakku, maafkan segala kesalahan walid. Doakan walid mendapat haji yang mabrur. Walid sangat bersyukur dikurniakan anak-anak seperti kamu semua. Doakan walid di dunia dan di akhirat sana.


Ingatlah anakku, menunaikan haji itu ibadah yang yang membawa kita bertemu yang Esa. Membawa diri yang hina untuk bersujud dan menyerah diri pada Allah. Persiapkanlah diri kamu. Inilah diantara nikmat yang terbaik dikurnia Allah. Moga nanti Ziyad juga mendapat haji mabrur dan kemanisan dalam beribadah. Salam sayang daripada Walid Ismail untuk anaknya Ibrahim.


Ismail Isa, Makkah Al- Mukarramah


"Encik, sekarang dah masuk waktu subuh," suara paramugari mengejutkan aku. Tertidur rupanya aku.


Surat walid aku dakap erat. Ada sisa air mata di pipi, lantas ku seka pantas. Isteriku disebelah sudah tiada, ke tandas mungkin. Surat walid aku cium dan masukkan ke dalam beg sandang.


Sekejap lagi pesawat akan tiba di Bir Ali dan aku akan mula berniat di situ. Maka bermulalah pengembaraan rohani ku bertemu Allah. Walid, tunggu Ziyad di sana.. di Baitullah Al-Haram...

No comments:

Post a Comment