Thursday, December 23, 2010

imam dan 20 sen

Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal  dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di  sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu  menaiki bas untuk pergi ke masjid.

Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang  dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah  memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20  sen.

Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang  wang 20 sen tersebut.

"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam  tersebut bertanya kepada dirinya.

"Ah... syarikat bas ni dah kaya...  setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup," kata Imam tersebut.

Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan  loceng dan bas tersebut pun berhenti.

Ketika Imam tersebut ingin turun  sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik  berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan  wang 20 sen tersebut.

"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen",  kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.

"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni..  kan sedikit je nilainya," pemandu bas tersebut berkata.

Imam tersebut  menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur."

Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya  saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak  uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk  memeluk Islam."

Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya  menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan,  "Astaghfirullah!!!Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual  harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!"

Sahabat-sahabatku sekalian...

Apa yang anda dapat  daripada peristiwa di atas? Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan  tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan  menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam.

Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu terdapat contoh teladan  yang baik.

No comments:

Post a Comment