Thursday, December 23, 2010

kisah balang kaca

Seorang pensyarah di Kolej Safir yang  bernama Dr. Izwan kelihatan sudah bersedia memulakan kelas falsafah  beliau. Suasana di dewan kuliah sunyi sepi dan para pelajar nampaknya  sudah bersedia mendengar syarahan daripada Dr. Izwan.

Kelihatan  di atas meja Dr. Izwan terdapat sebuah balang kaca yang besar dan  secawan air kopi yang sungguh harum aromanya. Tanpa berkata apa-apa, Dr.  Izwan meletakkan beberapa biji bola golf ke dalam balang kaca tersebut  sehingga penuh. Kemudian, Dr. Izwan bertanya, "Wahai para pelajarku,  adakah balang kaca ini sudah penuh?"

Para pelajarnya menjawab, "Ya,  balang kaca itu sudah penuh."

Kemudian, Dr Izwan memasukkan  beberapa biji manik ke dalam balang tersebut dan menggoncangkannya.  Manik-manik tersebut mengisi ruang-ruang kosong di celah-celah bola golf  di dalam balang tersebut. Dr. Izwan bertanya lagi, "Wahai para  pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?"

"Ya," jawab para  pelajarnya.

Kemudian, Dr. Izwan mengisi pula balang tersebut  dengan pasir pula. Dengan mudah pasir-pasir tersebut mengisi ruang-ruang  yang masih ada di dalam balang kaca tersebut. Dr. Izwan tanpa segan  silu bertanya lagi, "Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah  penuh?"

"Ya," jawab para pelajarnya yang nampaknya agak keliru dan  terasa seperti diperbodohkan.

Kemudian, dengan yakin Dr. Izwan  mengisi balang kaca tersebut dengan air kopinya. Kedengaran suara  seperti orang ketawa kecil. Suasana di dalam dewan kuliah mula  hingar-bingar seketika. Dr. Izwan sambil tersenyum sinis  bertanya, "Adakah balang kaca ini sudah penuh?"

Para pelajarnya menjawab, "Ya, sudah penuh."

Seorang pelajar Dr. Izwan mengangkat  tangan sambil bangun dan bertanya, "Kenapakah Dr. Izwan berbuat  demikian?"

"Baiklah saya akan terangkan sebabnya... balang kaca ini  melambangkan kehidupan kita semua. Bola golf itu pula melambang  perkara-perkara yang paling penting yang perlu diisi ke dalam kehidupan  kamu seperti agama kamu, amal ibadah, pelajaran, ibu bapa, keluarga dan  sekiranya tiada perkara lain pun kehidupan kamu tetap juga penuh.  Manik-manik kecil itu pula umpama perkara-perkara keperluan kamu seperti  rumah, kereta, pangkat dan sebagainya. Begitu juga pasir tersebut  melambangkan perkara-perkara kecil yang lain dalam kehidupan kamu," jawab Dr. Izwan dengan yakin dan gayanya yang tersendiri.

"Cuba  kamu bayangkan jika balang kaca tersebut diisi bermula dengan pasir,  sudah tentu ruang untuk bola golf dan manik amat terbatas. Begitulah  juga kehidupan, jika kita hanya menghabiskan tenaga dan masa hanya  kepada perkara kecil dan remeh... pasti dan pasti kita tiada lagi ruang  masa dan tenaga untuk perkara-perkara yang penting dan bermanfaat," Dr.  Izwan menyambung.

Tiba-tiba seorang pelajarnya bertanya, "Habis... air kopi tu melambang apa pula?"

Sambil tersenyum Dr. Izwan  menjawab, "Walau sesibuk mana pun kamu semua, ketahuilah bahawa kamu  masih lagi punya waktu untuk minum secawan kopi bersama ibu bapamu."

Wahai  kawan-kawanku sekalian... jika kita berasa kehidupan ini terlalu banyak  perkara yang perlu diuruskan sehingga anda merasakan masa selama 24 jam  itu tidak cukup... sebenarnya kitasilap!

Berfikirlah dengan akal  berpandukan Iman di dalam hati... tentukan yang mana satukah prioriti.  Jangan lupa fahami sedalam-dalamnya tafsiran surah Al-'Asr!

No comments:

Post a Comment