Thursday, December 23, 2010

kisah pemandu teksi

Sebuah kisah benar yang dilalui oleh diriku yang agak  jarang menaiki teksi untuk menuju ke mana-mana destinasi sekalipun. Pada suatu hari, aku, Imran, Hisyam dan Akmal bercadang untuk ke sebuah kedai buku untuk melihat buku-buku yang diwara-warakan dijual  dengan harga yang murah di sana. Setelah bersarapan pagi di KLCC, kami semua menaiki teksi menuju  ke kedai buku tersebut dengan menaiki teksi.

Ditakdirkan buat kali pertama bagi diriku menaiki teksi  yang dipandu oleh warga Indonesia. Maka banyaklah persoalan yang  berlegar di ruang legar kepala aku... Pemandu teksi ini ada permit ke  tak? Lesen?

Aku banyak berdiam diri di dalam teksi manakala Imran, Akmal  dan Hisyam pula banyak melontarkan soalan-soalan cepu emas, contohnya "Pakcik tinggal kat mana?", "Dah berkeluarga?", "Kahwin dengan  orang Malaysia ke?" dan lain-lain lagi. Perasaan aku menjadi tidak tenang kerana aku  merasakan soalan tersebut agak sensitif bagi warga Indonesia di  Malaysia.

Tetapi pemandu tersebut menjawab dengan tenang, antara  jawapannya "Saya tinggal di Ampang", "Saya tinggal dengan keluarga" dan  "Isteri saya orang Indonesia." Benar atau tidak aku pun tak tahu.

Tiba-tiba pemandu tersebut bertanya kepada kami semua,  "Apakah perasaan kamu semua ketika menaiki  kenderaan?" Aku tergamam. Akmal menjawab, "Macam biasa jelah". Satu  jawapan yang mungkin dipersetujui oleh aku, Imran dan Hisyam kerana  itulah perasaan kami.

Pemandu Indonesia tersebut berkata,"Bagi saya,  ketika saya menaiki kenderaan seperti ini (kereta atau kenderaan  berenjin), saya merasakan saya menaiki dua kenderaan secara serentak."

Kami semua kebingungan. Pemandu tersebut menyambung, "Satu kenderaan  yang sedang saya naiki dan satu lagi kenderaan bumi."

"Kenderaan bumi?"  salah seorang daripada kami bertanya.

Pemandu tersebut menjawab, "Bumi  kitakan sedang berputar pada paksinya dan beredar di dalam galaksi."

Aku  tergamam sekali lagi.

Pemandu tersebut menyambung, "Jika kita  memikirkan kejadian langit dan bumi, kitakan akan lebih dekat dengan  Allah, gitu..."

Tamat.

No comments:

Post a Comment