Monday, December 20, 2010

sesuci cinta Imani


Zara Imani melangkah dengan longlai dan akhirnya terjelopok tidak bermaya di atas lantai biliknya sambil meraup mukanya yang dibasahi dengan jujuran airmata.

‘Ya Allah..kenapa sebegini berat dugaan yang kau berikan padaku?’, Zara Imani terus berperang dengan perasaannya sendiri.

Tangannya diletakkan teguh di dada,menahan pedih di hati, menahan luka yang semakin menghiris, menafikan duka yang bermukim di hati sebaik sahaja menerima khabaran mengenai pemergian insan yang amat disayanginya. Kak Arina akhirnya menghadap Ilahi bersama suaminya, abg Zalikh akibat kemalangan.

“Mak su Iman, kenapa nangis?”, Ikha mengesat air mataku dan terus duduk menghadapku. Tangan kecilnya lantas mengusap rambut hadapan yang menghalang pemandanganku daripada terus melihatnya.

“Ikha…sayang…”, airmata Imani meluncur deras mengalir, laju bersama suara tangis yang tidak dapat dibendung lagi. Tubuh Ikha berada di dalam pelukannya, kemas. Sesungguhnya dia berasa kasihan dengan nasib si kecil itu.

Seawal usia 3 tahun, sekelip mata telah ‘dianugerahkan’ dengan gelaran anak yatim piatu. Di dalam hatinya, faham kah si kecil itu nanti apabila tiada lagi kucupan sayang dari si ibu dan tiada belaian kasih daripada si ayah. Imani menangis dan menangis lagi.

Kak arina, seorang yang amat mengambil berat tentang dirinya. Sanggup berhempas pulas demi menanggung pengajiannya. Belum sempat dia menabur sepenuh bakti, kak Arina terlebih dahulu meninggalkan dirinya tanpa sebarang kata selamat tinggal.

“Tahniah!..akhirnya berjaya jugak adik akak ni ye,”senyuman bangga dan ceria terukir di wajah kak rina melihatnya lengkap berpakaian seorang graduan sambil memegang segulung ijazah. Tangannya menggenggam lengan Imani dan ditarik ke pelukannya. Tanpa disedari mengalir airmata hangat di pipinya. Imani pasti itulah airmata kegembiraan untuk kejayaan yang diperoleh.

Itulah detik termanis bersama Kak Arina.Lamunan kenangan bersama Kak Arina muncul silih berganti di ruang khayalan mindanya.

“Iman, sudahlah tu, kalau kak Arina masih hidup mesti dia tak nak tengok Imani sedih macam ni”, Mama terus meniupkan kata-kata nasihat kepada Imani sambil mengusap rambutnya lembut. Cuba mengembalikan semula Imani ke bumi dan meninggalkan dunia yang hanya penuh dengan kenangan. Kenangan bersama kak Arina.

“Kenapa ma? Kenapa kak Arina tinggalkan kita?”, tanpa disedari sekali lagi pipi gebunya dibasahi dengan deraian air mata. Imani menoleh ke arah ibunya dan berterusan bertanyakan soalan yang sama kepada mamanya.

Puan Sofea memandang Imani dengan sayu. Sepertimana dia mengasihi Imani, begitu juga dia mengasihi Arina. Kedua-duanya darah dagingnya, racun dan penawar hidupnya. Tapi Arina telah pergi dan dia redha.

“Sabar sayang”, Puan Sofea turut mengalirkan airmata melihat kedukaan Imani.

Hampir sebulan Arina meninggalkan mereka, tetapi Imani masih meratapi kematian kakak kesayangannya itu. Kesudahannya, Imani masih terperuk di dalam biliknya dan menghabiskan waktu dengan kenyataan Arina tak mungkin akan kembali.

***********************************************************************************


Imani membuka matanya. Sinar matahari memancar tepat kearahnya. Membuatkan Imani bergegas turun daripada katil dan lantas menutup langsir kemudian kembali semula baring telungkup di atas katilnya sambil memeluk patung Tedy Bear pemberian arwah kakaknya. Aroma lavender yang memenuhi ruang bilik Imani lantas menjanjikan ketenangan kepadanya. Ditambah lagi dengan suasana bilik yang lengkap berona merah dan putih.

Di atas meja kecil tersusun kemas gambar ahli keluarganya. Tangannya lantas mencapai salah satu gambar. Gambar Kak Arina dan airmatanya mula mengalir lagi.

Kakinya laju melangkah ke bilik Kak Arina. Bilik yang suatu masa dahulu pernah dikongsinya bersama Kak Arina sebelum bilik tersebut rasmi menjadi milik Kak Arina bersama Abang Zalikh setelah mereka sah bergelar suami isteri.

Pintu tertutup perlahan.

Mata Imani tepat memandang Almari Kak Arina dan membukanya.

“Kak, Imani datang ni kak..”, Imani bertambah sebak apabila melihat baju arwah Kak Arina. Baju-baju itu dicium, dipeluk sepuas hatinya sambil berbaring di katil milik kakaknya.

“Iman…Iman..Zara Imani”.

“kakak, kakak pegi mana? Imani rindu kakak”, Imani memagut lengan kak Arina dan memeluk Kak Arina erat. Seolah-olah tidak percaya Kak Arina ada di depannya.

“Iman, kakak sayang Iman. Iman sayang kakak kan?”

Iman mengangguk segera. Berkali-kali.

“Hmm..kalau sayang, boleh tak tunaikan permintaan kakak?”

Imani melepaskan pelukan dan melihat tepat ke muka kak Arina. Berseri dengan pakaian yang cukup cantik.

“Apa dia kak?” balasnya.

“ Kakak nak, Imani teruskan hidup. Jangan terus bersedih. Kakak pergi tak lama dik. InsyaAllah, suatu hari nanti kita akan bertemu sekali lagi dan takkan berpisah sampai bila-bila, ya?” kak Arina memandang dengan penuh kasih sayang. Syahdu.

“Apa akak cakap ni? Tgok, Imani pegang kakak ni kan? Tgok, Imani sentuh pipi kakak. Akak cakap apa ni, tak baik tau." Imani memuncungkan mulutnya dan melihat ke arah pintu. Sedikit protes dengan sikap Kak Arina yang cukup pelik padanya.

Dia kembali melihat Kak Arina.

Imani terkejut.

“Kak Arina! Kak Arina!,” Imani memanggil nama kakaknya lantang berulang kali. Tetapi tiada sebarang sahutan daripada Kak Arina.

“Kak Arinaaaa!!!.”

Imani terbangun dengan tiba-tiba dan tersedar. Matanya liar melihat ke sekeliling bilik. Masih sama. Cuma Kak Arina yang dicari tiada lagi di sisi.

“Astagfirullahalazim,” sambil meraup rambutnya ke belakang.

Mimpi rupanya.

Masih terngiang-ngiang segala percakapan Kak Arina yang lebih kepada suatu pesanan.

Pertemuan yang sekejap Cuma tetapi cukup meninggalkan kesan yang amat mendalam. Imani pasti kakaknya bersedih melihat keadaannya yang bersedih pada masa sekarang.

Imani menangis lagi. Tetapi kali ini menangis kerana begitu bodoh. Mengenangkan dirinya bagai tiada pegangan agama dan kepercayaan. Sepatutnya dia harus menerima ketentuan Ilahi, suratan takdir. Mendoakan kesejahteraan Kak Arina dan arwah suaminya.

‘Mesti roh Kak Arina tak tenang. Aku tak boleh berterusan macam ni. Aku perlu kuatkan semangat’ Imani membisikkan ke dalam hatinya.

Sejurus selepas mengemas kembali pakaian Kak Arina, Imani melangkah ke bilik mandi. Mengambil wuduk dan sujud kepada penciptanya.

“Ya Allah ya tuhanku. Kau ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa keluargaku. Sesungguhnya hanya kepadaMu aku memohon keampunan. Aku Insan yang lemah lagi hina, memohon seribu ketenangan daripadaMu Ya Allah. Dalam menghadapi ujian yang engkau berikan ini, kau tabahkanlah hatiku, kau tenangkanlah jiwaku ini. Kau berikanlah ketabahan dan kekuatan. Ya Allah ya Tuhanku, kau tempatkanlah kakakku Arina Rasha Aizudin dikalangan orang-orang yang soleh, orang yang mendapat payung rahmatMu. Sesungguhnya hanya kau yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani dan semua yang hidup di muka bumi ini akan kembali jua kepadaMu. Amin Ya Rabbilalamain.”

Imani merebahkan dirinya di atas sejadah.

Berbekalkan hati yang penuh keredhaan.

“Alhamdulillah.Kak..Imani sayang kakak.. semoga akak tenang kat sana.. Imani akan selalu mendoakan kesejahteraan akak” sekadar berkata-kata kecil, Imani tersenyum.

No comments:

Post a Comment